15
Apr
09

Gelora Cinta Seorang Gadis

 

Seusai memberi salam hatiku tak tertanggung lagi. Pantas aku bangkit, meninggalkan lompang antara saf. Aku melangkah tergesa, segera meninggalkan musolla yang dingin dan damai, tak seperti hatiku yang bergelora panas.

 

Suara zikir yang mengganggu naluriku semakin sayup kedengaran. Air mataku tumpah deras. Kuketap bibir, tertahan-tahan sendu yang bisa saja menarik perhatian. Langkahku terus mantap menuju kamar.

 

Aku hempaskan punggung di birai katil. Aku menangis sepuas hati. Untung saja teman-teman sebilik tidak ada, jika tidak banyak pula persoalannya. Telekung putihku lencun dengan air mata. Aku benar-benar bagai di siksa walau tiada kelihatan segaris pun luka.

 

Entah berapa lama, tangisku mulai reda. Ku ucap istighfar berulangkali, di bibir dan di hati. Segera ku kesat wajah berbekas air mata. Ku pandang jam dinding menunjukkan angka lapan. Ku gumam istighfar dan ta’awudz silih berganti. Ya Allah, ampunkanlah hamba-Mu yang dhaif dan hina ini kerana terlalu mengikut hati dan perasaan. Hati ku terus memohon keampunan atas keterlanjuran yang pasti tipu daya syaitan.

 

Aku lucutkan telekung dari tubuh. Pantas menuju bilik air untuk berwuduk. Aku perlu memperbaharui solat maghrib yang tidak sempurna khusyuk angkara debaran dada yang mengganggu.

 

 

Entah sejak bila bermula. Ada keanehan mengalir dalam diri bila berdepan dengannya. Wajah redupnya menarik pandangan dan lembut tutur katanya mempesona pendengaran. Fikiran jadi kacau. Jiwa dirantai sejuta perasaan.

 

Memandangnya walau sekilas bagai satu mukjizat. Suara, perwatakan bahkan langkah yang diatur mengkaku tiap pancaindera. Minda terus-menerus diburu gambaran wajahnya. Hati tak berhenti melakar namanya. Subhanallah, apakah yang melanda diriku? Apakah ini namanya cinta? Bagaimana caranya untuk ku menanganinya? Ya Allah, kasihanilah hamba-Mu yang lemah ini, berikanlah petunjuk dan hidayah-Mu.

 

 

Aku tak pernah mengenal cinta selain cinta Ilahi. Bisikan Umi sejak dalam rahim. Ajaran Abi dari usia satu hari.

 

Tiba-tiba perasaan ini hadir menggugah cinta didikan Abi dan Umi. Salahkah perasaan ini? Aku dibelenggu pertanyaan. Terus dalam keraguan. Perlukah dilestarikan cinta? Apakah itu bermakna aku berpaling dari cinta-Nya, mengkhianat dan berdusta?

 

‘Perasaan cinta itu memang fitrah, fitrah manusia yang telah ditentukan Allah s.w.t. seperti firman Allah dalam Surah Asy-Syams, ayat 8 hingga 10, yang bermaksud ‘maka Allah mengilhamkan pada jiwa itu jalan kefasikan dan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya’. Jelas di sini fitrah yang ditetapkan Allah dalam diri manusia terbahagi kepada dua jalan yang perlu dipilih, kefasikan atau ketakwaan,’ suara Ustaz Rizal bergema di ingatan. Ustaz muda berjanggut pandak itu memang sentiasa menarik pendengaran pelajar dengan intonasi suara yang berbeza dan kiasan bahasa yang pelbagai dalam setiap sesi kuliah maghrib yang kelolaannya. Ceramah yang hampir setahun berlalu ketika aku masih di alam persekolahan sebelum menjejak dunia kampus yang penuh pancaroba, seakan-seakan memberiku peringatan.

 

Adakah perasaan ini cinta yang fitrah ada pada setiap remaja yang menginjak dewasa? Apakah ia jalan ketakwaan? Atau jalan kefasikan? Mungkinkah keuntungan yang akan ku capai atau kerugian yang bakal ku tanggung? Soalan demi soalan menguji hati dan mindaku.

 

‘Sesungguhnya kekuatan dalam melawan fitrah ke arah kefasikan menunjukkan kekuatan iman seseorang mukmin. Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda bahawa ‘Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah’. Maka jadilah mukmin yang kuat untuk memperoleh cinta dan kasih-sayang Allah yang Maha Agung,’ suara Ustaz Rizal terus merangsang pemikiranku.

 

Kuatkah aku melawan perasaan? Membunuh rasa cinta yang semakin mekar berbunga? Apakah aku lemah andai ku biar ia subur menghuni hati? Kurangkah cinta Tuhanku yang selama ini indah ku kecapi? Mampukah aku kehilangan cinta hakiki Ilahi demi cinta ini? Antara dua cinta aku menjadi buntu sama sekali.

 

 

Memang aku penggemar cerita sufi. Tapi tiada niatku meniru Rabiah Al-Adawiyah. Sungguh aku takjub dengan cinta Siti Zulaikha. Tapi tidak terdetik dikalbu menagih cinta seorang pun jejaka. Namun, sesungguhnya aku mengagumi Siti Maryam, begitu sabar dan tabah biar diuji dugaan yang tak tertanggung oleh mana-mana gadis pun sepanjang zaman dan tempat. Namun, istimewanya dia gadis suci yang wara’ yakin dengan janji-janji Tuhannya.

 

Barangkali ini ujian Tuhan menduga iman hamba-Nya. Bukankah di dalam Al-quran, Allah ada berfirman ‘Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan saja mengatakan Kami telah beriman sementara mereka tidak diuji?’( Al-Ankabut ayat 2 ). Bukankah ujian yang ditimpa Tuhan adalah petunjuk cinta-Nya kepada hamba? Bukankah setiap kali ditimpa bencana, hamba yang beriman akan meminta dan memohon bantuan-Nya? Bukankah Allah suka mendengar suara rayuan dan rintihan itu? Allahuakbar, jika benar ini ujian-Mu, berikanlah kekuatan agar aku teguh di atas jalan-Mu.

 

Aku tak mungkin menjadi Siti Maryam kerana aku sendiri gagal mempertahankan kesucian hati. Hatiku ternoda dengan kemaksiatan bila terkenang pada sesuatu yang tidak halal bagiku. Hatiku tidak khusyu’ dalam mendamba cinta-Nya kerana dalam waktu yang sama mengharap cinta makhluk-Nya. Ya Allah, kau redakanlah gelora perasaan ini kerana sepertinya aku seakan lemas dalam pukulan ombak ganasnya. 

 

 

Pernahkah mendengar kisah pemuda yang kelaparan lalu makan epal yang hanyut di bawa air sungai yang mengalir? Lalu pemuda jujur itu menjejak pemilik buah epal untuk meminta maaf di atas dosa memakan epal tanpa keizinan dan sanggup melakukan apa saja demi menebus kesalahannya itu. Pemilik epal lantas meminta pemuda itu bekerja di ladang epalnya untuk sekian-sekian waktu. Pemuda itu lantas bersetuju dan bekerja dengan rajin dan amanah. Setelah sampai waktu akhirnya, pemilik epal memberikan satu lagi tugasan sebelum menghalalkan epal yang telah dimakan pemuda itu.

 

Kata pemilik epal ‘Aku mahu engkau mengahwini anak perempuanku yang buta matanya, tuli pendengarannya, bisu mulutnya dan cacat anggotanya,’

 

Pemuda itu tentu saja tergamam dengan permintaan pemilik epal tadi. Tapi kerana sifat jujur dan amanahnya, dia setuju untuk melaksanakan perkahwinan itu asal saja epal yang telah dimakannya dulu dihalalkan dan kemaafan pemilik epal diperoleh.

 

Tentu saja bukan sikap amanah pemuda itu menarik hatiku saat ini kerana sesungguhnya  aku cemburu pada anak pemilik epal itu. Bukan kerana bakal memiliki suami yang soleh dan beriman tapi kerana anak perempuan pemilik epal itu tidak buta, tuli, bisu mahupun cacat bahkan dia gadis sempurna yang sungguh jelita. Cantik luar dan dalaman.

 

Pemilik epal terpaut kepada peribadi mulia si pemuda lantas mahu menjadikannya suami kepada anak gadisnya yang matanya tak pernah menatap lelaki selain ayahnya, telinganya  tak pernah mendengar sesuatu yang dusta, mulutnya tak pernah mengeluarkan bicara yang sia-sia dan anggota tubuhnya tak pernah melakukan maksiat. Aku cemburu dengan kesucian gadis itu. Gadis yang ku kira wajar menjadi idola bagi setiap pencinta kesucian.

 

Air mataku menitis buat kesekian kali. Terlalu jauh aku dari gadis itu. Terlalu beza aku dibandingkan gadis itu. Ya Allah, walaupun cuma satu peratus atau kurang dari itu, kurniakanlah aku kesucian seperti gadis itu. Ya Allah, aku sedar ya Allah betapa kotornya aku, maka bantulah aku membersihkan diri.   

 

 

Aku mencari setiap peluang dan ruang membawa aku jauh dari perasaan itu. Aku tidak lagi hadir solat berjemaah di musolla demi menghindar dari mendengar kesyahduan bacaannya mengimami solat-solat fardhu. Ia membuah persoalan pada teman-teman. Aku cuma tersenyum, tidak sanggup rasanya mengakui hakikat sebenarnya. Sekadar menunjukkan hadis Nabi s.a.w. yang berbunyi ‘Sesungguhnya sembahyang seseorang wanita itu lebih baik di kamarnya daripada sembahyang di masjid kaumnya, dan sembahyang di masjid kaumnya adalah lebih baik dari sembahyang di masjid berjemaah’. Malah akhirnya aku tekad untuk tidak lagi menginap di kolej kediaman semata-mata menjaga pancaindera dari terus mendepaninya.

 

Walaubagaimanapun dia masih menghiasi hari-hari ku di fakulti. Ada beberapa tugasan yang memerlukan kami berkomunikasi. Aku cuba menjadikannya seminimal mungkin. Aku sedaya-upaya menjauhkan diri. Tingkahku kadang-kala seperti membenci. Aku tak mahu melukakan hati sesiapa tapi murka Allah lebih perlu ku jaga.

 

Perasaan itu adakala memudar. Tapi kadang-kadang begitu mencengkam sanubari. Aku tegar mendekati Tuhan. Malam-malam ku hiasi dengan pujuk rayu, memohon tanpa henti diberi kekuatan melawan perasaan. Aku makin rajin hanyut dalam kalamullah, Al-Furqan benar-benar penawar hati yang mustajab. Dalam keasyikan menghayati keindahan dalam pembacaan, aku jadi leka seketika dari zikir tentangnya. Zikir yang aku sendiri tak mahu mengungkapnya tapi hadir tanpa rela.

 

Bila waktu perasaan itu benar-benar menduga, adakala aku mengharap amat dia memulakan langkah pertama. Aku berharap dia juga punya perasaan sepertiku. Aku harap ada hubungan menjalin perasaan itu. Aku harap cinta itu mekar dan saling berpadu. Malahan adakala kutitip dalam doa di kala dinihari.

 

Ada ketika, bila dia melintas di depan mata aku berharap dia berhenti, menatap wajahku dan mengungkap kalimah keramat yang sangat ku rindu. Aku berharap di menggenggam tanganku dan bawa aku melestarikan cinta berdua.

 

Tapi itu cuma harapan. Dia tidak pernah menjelingku walau sekilas. Aku juga tak mahu begitu. Aku cuma mengharap kerana perasaan itu begitu mendesak. Namun tangisku akan panjang setelah itu. Rasa kesal mendalam kerana cinta Tuhan yang patut ku damba, bekhalwat dengan-Nya yang wajar ku impi, menggapai kasih-Nya yang mesti ku rindu. Betapa hitam hatiku hingga tidak mengenal apa yang utama. Ya Allah, aku pohon Engkau menghapuskan ingatan ku padanya, tak sanggup aku menanggung tompokan hitam yang begitu memberat di kalbu.

 

Kadang-kala aku resah kenapa tidak dia meluahkan perasaan padaku. Atau pada sesiapa jua. Aku pasti satu perkara, ketinggian peribadinya yang menjerat perasaanku. Andai dia melencong arah, pasti perasaan ini kian memudar dan akhirnya hilang. Mengapa dia begitu sempurna sebagai manusia? Ya Allah, benar-benar ciptaan-Mu ini merupakan ujian bagiku, oleh itu aku mohon kekuatan dari-Mu.

 

 

Lebih empat tahun aku mengekang perasaan. Segalanya telah kulakukan demi mengekalkan kesucian dalam jiwa. Tinggal saja aku tak sanggup menukar jurusan yang ku pilih kerana minat mendalam yang tak mungkin ku singkir.

 

Aku berpegang pada janji Allah. Dalam Surah An-Nur, ayat 26; bermaksud ‘wanita-wanita yang keji diperuntukkan untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji diperuntukkan untuk wanita yang keji pula, dan wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik pula’. Aku yakin aku akan menemui pemilik tulang rusuk yang darinya aku dicipta. Aku pasti telah tertulis di luh mahfuz namanya. Bukan aku menyerah takdir tapi aku benar-benar yakin kepada-Nya.

 

Cuma sabda Nabi s.a.w. ‘Apabila seseorang hamba telah berkeluarga, bererti dia telah menyempurnakan separuh daripada agamanya. Maka takutlah kepada Allah terhadap separuh yang lain’. Begitu juga sabda bagindaPerkahwinan itu sunnahku. Sesiapa yang menolak sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku’. Aku mahu menyempurnakan agama serta mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.

Perasaan itu ada pasang-surutnya. Namun tak pernah mati. Aku juga makin mengerti akan makna kehadiran perasaan itu. Perasaan itu sama sekali bagai anugerah kurniaan Ilahi. Ujian yang membawa keteguhan hati dan iman. Tiap kali aku berjaya melawan godaan perasaan, semakin mantap keyakinan dan keimananku pada Ilahi.  Sesungguhnya Allah tak pernah menjanjikan jalan yang mudah bagi orang-orang yang beriman tapi Allah berjanji akan sentiasa di sisi menemani perjuangan hamba-hamba-Nya yang yakin dengan janji-janji-Nya.

 

Masa berlalu pantas. Aku bakal meninggalkan perkarangan taman ilmu yang telah banyak menjadi saksi perjuanganku menjaga kesucian hati. Aku tahu aku bakal melangkah dunia luar yang lebih banyak onak duri merintangi. Ya Allah, tetapkanlah langkahku atas jalan-Mu.

 

 

“Sesungguhnya aku sudah lama tertawan padamu. Sesungguhnya sudah sekian waktu cintaku bersemi buatmu. Sesungguhnya namamu telah terpahat kukuh dan bertakhta di hati. Tapi demi kesucian hubungan yang ingin aku lestarikan, aku pendam perasaan itu jauh di lubuk hati, aku simpan rapi tanpa sebarang noda. Sesungguhnya memang tekadku menyunting mu sebagai suri hidupku dalam ikatan yang suci. Demi cinta yang ku pelihara kesucian buat sekian lama, demi Tuhan yang menganugerahkan cinta ini, sudikah engkau menerima ku sebagai suami mu? Lelaki yang harta dan maruahnya adalah amanahmu serta lelaki yang padanya terletak maruah dan syurga mu,”

 

Air mata ku menitis, tak mampu lagi berkolam di tubir mata. Wajah redupnya kutatap. Suara lembutnya menusuk sukma. Sinar matanya membuah syahdu. Dia mengukir senyuman mempesona jiwa raga. Perlahan jari-jemarinya menyentuh wajahku, menyapu air mata mengalir di pipi. Aku tunduk, menahan getar dalam kalbu.

 

Aku bersyukur dia tak pernah meluahkan isi hatinya. Aku bersyukur aku tegar menongkah arus perasaan. Aku takjub kerana kekuasaan Allah di luar batas kemampuan insan. Aku takjub kerana kesabaran menempuh ujian dibalas nikmat yang sungguh mengasyikkan. Aku bersyukur dan takjub bahawa aku kini isteri yang sah kepada lelaki yang sekian lama ku menaruh cinta. Aku bersyukur memiliki cintanya tanpa menggadai cinta Ilahi. Aku takjub dengan keajaiban cinta. Aku akhirnya bisa merai cinta setelah sekian lama.

 

 

Hari konvokesyen adalah hari yang dinanti-nanti setiap insan yang bergelar mahasisiwa. Sejak melangkah ke menara gading, aku tak pernah berhenti membayangkan hari konvokesyen yang gilang-gemilang yang bakal aku hadiri sebagai seorang siswazah. Hari itu pasti mengukir sejarah manis dalam diari setiap insan yang melaluinya. Siapa sangka pada hari itu aku menerima lafaz keramat yang selama ini ku nanti.

 

“Saya…saya…..sudikah awak menjadi isteri saya?” aku disunting dalam barisan beratur menunggu giliran untuk naik ke pentas. Wajahku merona merah, jantungku yang dari tadi berdegup kencang kerana terpaksa berada di hadapannya dalam barisan itu semakin dipalu-palu rasanya. Aku diam. Hilang punca untuk berbicara.

 

“Saya anggap diam tanda setuju. Insya-Allah, dalam minggu depan ibu bapa saya akan bertandang ke rumah awak. Awak tak perlu risau, saya sudah mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang tetap,” lancar bicaranya. Lidah ku kelu sama sekali. Tentu sekali tidak menyangka ada sejarah lain yang bakal terukir dalam memoriku hari ini selain majlis konvokesyen yang penuh berprestij.

 

Aku tak tahu apa perasaanku saat ini. Segala bercampur-baur tidak menentu. Aku bimbang hilang konsentrasi sedang aku bakal naik ke pentas dalam beberapa minit lagi.

Aku mengosongkan minda kecuali bergumam di ruang fikiran, ‘janji Allah itu pasti’.

 

 

 

                                                                                                Nukilan Suci,

 

                                                                       Amal Mina

                                                               (11 January 2008)                


7 Responses to “Gelora Cinta Seorang Gadis”


  1. 1 sha
    April 16, 2009 at 1:32 am

    i like this post..but then..siapakah gerangannya?? huhuhu

  2. April 16, 2009 at 6:37 am

    To Sha:
    ALLAH Maha Mengetahui….
    heeeee

  3. 3 sha
    April 16, 2009 at 7:39 pm

    heh? x paham..ke pijan>>kalo ye..mmg nak majuk r..kawen x jemput….

  4. April 17, 2009 at 7:17 am

    To SHa:
    heeeee….
    ke>> ape nye???
    tak de maknenye….
    heh….
    saje je bikin gempaq….
    nothing serius pong….
    saje nak share cite sweet tuuu….
    best kan????
    ngeeeee

  5. 5 sha
    April 17, 2009 at 2:47 pm

    phuhh…besh sgt..sape la yg bhgia sgt tu..huhu

  6. April 17, 2009 at 8:55 pm

    1. penulis ni orang kelantan. perkataan ‘pandak’ digunakan untuk maksud pendek. hanya orang kelantan guna perkataan pandak=pendek.
    2. dia hidup dalam angan-angan dan khayalan semata-mata, dengan katanya “jari-jemarinya menyentuh wajahku, menyapu air mata di pipi”. kalau lelaki tu alim dan siqah, takkan dia nak sentih wajah pompuan tu. dan kalau pompuan tu alim dan siqoh jugak, takkan dia nak bagi laki tu sentuh wajah dia.

    ape-apelah.

    haha.

    camne budak tu? ada lagi ular dia?

  7. April 17, 2009 at 11:54 pm

    to ashraflatif:
    tepat sekali komen anda… that was my first thought when i read this….
    heeeee
    da next topic i cannot reveal here…
    hehe
    P&C
    heh


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: